Sunday, September 18, 2016

Musim Final Year Project

Bismillah.

Semester baru, haruslah dengan semangat yang baru, kan.

Sekarang musim pelajar tahun akhir untuk memilih tajuk fyp (final year project). Projek ini seperti kita buat tesis. Jadi, sebelum menghasilkan tesis, penyelidikan dan kajian perlu dibuat, barulah data dan analisis dapat dibuat.
Kalau anda bercita-cita untuk menyambung dalam bidang kimia, ada beberapa tajuk fyp yang menarik untuk dijadikan kajian.

Tajuk-tajuk fyp ini sudah diasingkan mengikut subdisiplin dalam kimia, dan juga specialisation untuk tajuk yang lebih kepada aplikasi.

Pendek kata, berdasarkan tajuk-tajuk fyp yang dikeluarkan oleh pusat pengajian kami, ada tajuk yang berunsurkan teori, dan ada juga yang terus kepada produk.

Di sini saya rumuskan beberapa bidang tajuk fyp dalam kimia berdasarkan kaca mata saya sendiri.

1. Kimia Tak Organik
Tajuk yang dikeluarkan lebih kepada sintesis. Maksudnya, ada tindak balas antara reagen itu dengan reagen ini. Isu yang diutarakan selalunya dalam penggunaan mangkin, penggunaan bahan yang mesra alam (green chemistry) dan kajian kimia tak organik dalam biologi seperti DNA. Bagi yang power dalam teori-teori seperti teori medan hablur dan diagram MO, mungkin bidang ini sesuai dengan anda.

Solvatokromisme dalam kimia tak organik. Sebatian yang sama menghasilkan warna yang berbeza dalam pelarut yang berbeza.

2. Kimia Organik
Sama macam kimia tak organik. Mostly tajuk yang dikeluarkan ialah mengenai sintesis. Of course, segala ilmu dalam makmal dan teori harus disepadukan agar dapat menghasilkan data yang baik. Teknik-teknik seperti kaedah pemisahan memang selalu digunakan dalam sintesis organik untuk pisahkan komponen yang susah untuk dipisahkan. Sintesis organik ini ada juga aplikasinya dalam bidang lain, seperti sebagai anti-malaria dan juga solar.

Salah satu keadah pemisahan dalam sintesis organik iaitu pengekstrakan menggunakan turas pemisahan.

3. Kimia Hasilan Semula Jadi (Kimia Organik)
Yang saya tahu ia tidak melibatkan sangat mengenai tindak balas. Tajuk yang dikeluarkan adalah bertujuan untuk pelajar mengekstrak sesuatu sebatian dari sumber semula jadi. Sebatian hasilan semula jadi ini pula kompleks-kompleks belaka berbanding sebatian organik biasa. Nak ekstrak katanya susah, nak pisahkan apatah lagi, sebab dalam ekstrak itu mungkin tercampur beberapa sebatian yang lain, jadi sebatian semula jadi yang mahu diekstrak itu haruslah tulen setulen-tulennya. Lastly, pengelusidasian (penentuan struktur molekul) perlu dilakukan untuk mengesahkan identiti sebatian itu, menerusi penggunaan instrumen kimia seperti spektroskopi inframerah, spektroskopi ultralembayung-boleh nampak, spektroskopi resonan magnet nuklear dan spektrometer jisim.

Spesis tumbuhan ini dinamakan sebagai Hibiscus Sabrdariffa atau orang Melayu panggil asam belanda. Dikatakan kelopak bunganya mengandungi sebatian fenolik yang dapat menjadi penawar kepada penyakit tekanan darah tinggi.

(Saya minat tajuk dalam bidang ini, hihi.)

4. Oleokimia
Apa yang saya tahu, tajuk-tajuk dalam bidang ini sangat menarik dan unik. Kebanyakannya adalah untuk menghasilkan produk. Oleokimia adalah kajian kimia yang berkaitrapat dengan minyak, lemak dan sebagainya. Antara tajuk yang agak menarik perhatian saya ialah sabun mandi lutsinar, yogurt, aiskrim, dan sebagainya.

Sabun lutsinar. 

5. Kimia Polimer
Selalunya pelajar-pelajar dalam bidang Teknologi Kimia akan pilih bidang ini. Ia lebih kepada penghasilan polimer, kajian mengenai elektrolit dalam elektrokimia, modifikasi polimer dan sebagainya. Tajuk-tajuk dia pun agak gempak sampai saya sendiri tak mampu nak cerna istilah yang digunakan.

Visual mudah untuk menerangkan apa itu pempolimeran, iaitu pengulangan monomer yang sama untuk menghasilkan rantai polimer panjang yang baru.


6. Kimia Analisis

Saya tak tahu sama ada bidang ini agak senang atau tidak. Basically, pelajar akan kumpul sampel dan buat analisis. Macam senang pula, kan? Ada analisis air, analisis mengenai pencemaran udara dan sebagainya. Kata senior, banyak pengiraan statistik perlu dibuat. Saya yang memang jenis tidak suka menghadap banyak nombor mungkin tak berapa sesuai nak masuk dalam bidang ini. Hihi. (Subjek Kimia Analisis Asas dulu pun dapat C+ kah kah kah).

Analisis air adalah salah satu kajian yang penting dalam kimia analisis, kerana kandungan dalam air mungkin mengandungi bahan-bahan logam atau komponen farmaseutikal yang mungkin memberi kesan pencemaran kepada alam sekitar, dan tidak elok untuk diminum oleh manusia.

Dalam banyak-banyak bidang ini, saya tertarik dengan kajian hasilan semula jadi.

Pensyarah saya sendiri kata ramai yang tak berapa gemarkan tajuk ini.

Tapi pada saya tajuk ini mempunyai keunikan dan kelebihan yang tersendiri. Sebatian-sebatian yang diekstrak dari tumbuh-tumbuhan misalannya sebenarnya mampu memberi potensi yang besar dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, farmasi dan farmakologi.

Cuma dari kita je sama ada nak atau tak nak.

Apa pun pilihan yang dibuat, didoakan agar Tuhan permudahkan urusan rakan-rakan saya untuk menjalankan projek mengikut minat masing-masing. In sha Allah.


Sunday, August 7, 2016

Jatuh Motor 8 Kali

Bismillah.

Gambar hiasan semata-mata.



Tak semua yang mampu tunggang motor.

Saya, antara mereka yang dimaksudkan.

Mungkin sebab saya jarang naik basikal, menyebabkan apabila saya baru nak naik motor buat pertama kali terasa terkial-kial.

Mungkin juga sebab saya selalu terperuk di rumah, jarang bergaul dengan orang, menyebabkan saya kurang terdedah dengan dunia motor.

Yang mencetuskan saya untuk mahu belajar bawa motor, sebab selalu naik motor kawan pergi ke kuliah atau ke mana-mana.

Jadi saya pun kepingin juga untuk belajar bawa motor. Tidaklah selalu mahu dihantar ke sana dan ke mari sentiasa. Fikirkan juga duit minyak motor kawan.

Saya ambil lesen motor. Sebab mahu belajar for the first time. 

Tapi belajar motor di litar tidak diajar secara praktikal. Maksudnya, saya sendiri yang kena belajar bawa motor.

Bayangkan, orang yang tak pernah langsung start enjin motor, tiba-tiba perlu bawa motor?

Sejak dari itulah baru saya belajar sedikit demi sedikit.

Untuk melepasi kesemua cabaran bagi pemula seperti saya memang taklah. 

Titi, awal-awal lagi sudah tergolek ke kanan.
Kon? Dah berapa biji kon saya langgar.
Bonggol? Memang tak pernah lepas sebab badan tak pandai seimbangkan.
Pusingan 8? Fobia saya, takut-takut kalau terlanggar benteng. Tapi memang terlanggar benteng pun.

Saya tak berputus asa. 

Saya adalah pemegang lesen L selama hampir setahun. Sebab saya tahu saya bukan lahir-lahir terus dapat tunggang motor.

Jadi apabila kembali ke kuliah, saya gunakan motor secondhand untuk bergerak ke sana-sini.

Mula-mula memang saya tak berani nak bawa, tapi saya cuba kuatkan juga azam.

Di litar, tak sama dengan di jalanan. Saya sudah dapat mengagak risiko-risiko yang bakal dihadapi.

Saya jatuh motor 8 kali.

Sudah berapa calar yang berbekas di kaki saya.

Saya masih ingat, kemalangan yang paling 'ngeri' saya pernah lalui, apabila motor saya terhumban di tengah jalan, menyebabkan saya tercampak ke hadapan. Bayangkan, tangan saya terseret sepanjang di atas jalan yang bertar.

Waktu tu ada insan yang tolong angkatkan motor. Mungkin sebab waktu itu licin, menyebabkan saya menekan brek kaki secara mengejut.

Entahlah, waktu itu perasaan saya, kosong. Saya kemudian terus menuju ke Masjid UKM.

Waktu itu, azan Maghrib berkumandang.

Air mata saya mengalir, mendengar suara azan di langit.

Mungkin juga waktu itu saya mengenangkan nasib saya di perantauan.

Yalah, sudahlah kena buang kolej, saya terpaksa duduk di luar.
Bukanlah untuk mengekspresikan ketidaksyukuran. Cuma saya yang lemah.
Saya perlu kuat untuk menghadapi detik-detik kesukaran seorang mahasiswa.

Diuji pula dengan ketegangan menghadap manusia yang bermacam-ragam. Saya benar-benar rasa mahu berputus asa.

Fabiayyi Alaa ‘Iraabikumaa Tukadzdibaan.

Maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?
(Surah Ar-Rahman)

Dalam susah-susah itu sebenarnya ada banyak lagi nikmat yang saya perlu syukuri.

Saya dikurniakan dengan rakan-rakan yang memahami. Saya jarang balik rumah sewa sebab mahu siapkan assignment menggunakan Wifi. Saya selalu tumpang bilik kawan saya.

Saya pernah tanya dia, 'Kau ok ke aku asyik menyibuk datang bilik kau? Aku takut kau tak berapa selesa. Yalah, aku kau suruh aku tidur atas katil kau, kau pula tidur di atas lantai. '

Tapi dia, dia tak kisah. 
Dia ok.
Saya pujuk lagi sama ada dia betul-betul ok.
Dia hairan.

Dia cakap, 'Farid relakslah, tak ada apanya. Aku dah biasa tidur bawah lantai. Di rumah aku lagilah aku selalu tidur atas lantai. Kau datanglah bilik aku setiap hari. Kami sentiasa mengalu-alukan kau. Tapi, makanan jangan lupa bawa. Hehe!'

Tersenyum saya.
Waktu tu, saya berdoa dalam diam. 

Ya Allah, rahmati kawanku ini.

Dia jugalah yang susah-susah tolong saya baiki motor setiap kali jatuh motor. 

Susah mahu cara orang macam ini.

Walaupun saya tahu ada yang kurang senang dengan sikap saya yang selalu bergantung kepada orang.

Saya cuba untuk ubah sikap itu. Doakan saya.

Kita pendekkan cerita.

Alhamdulillah, saya sudah lulus pra-ujian motor semalam. 

Walaupun ada kesalahan-kesalahan seperti kasut tak betul dan sebagainya, tapi saya bersyukur kerana walaupun saya baru terhegeh-hegeh nak belajar bawa motor, ambil masa dekat nak setahun pegang lesen L, tapi Allah permudahkan dan sentiasa memudahkan urusan hamba-Nya.

Ada yang memang tahu dan pro bawa motor, tapi terpaksa mengulang semula ujian.

Itulah yang dinamakan, rezeki di tangan Allah.

23hb Ogos ini bakal menentukan sama ada saya layak atak tidak untuk memegang lesen P.

Selepas ini, bolehlah saya bawa motor sambil kawan saya bonceng saya pergi ke Putrajaya.

Doakan saya in sha Allah.

Saturday, August 6, 2016

Kerana Masing-masing Punya Kehidupan

Bismillah.

Menginjak usia, pasti kita akan menemui pelbagai ragam manusia.

Setiap insan yang hadir dalam hidup kita, adalah bukan sesuatu yang kebetulan atau sia-sia.
Ada yang kita baru berkenalan, sudah rasai kemesraan.
Ada yang hanya berdasarkan pandangan pertama mencambah benci, tapi lama-kelamaan hubungan menjadi rapat, kerana banyak sisi kebaikannya yang kita kenali.
Ada yang berkenalan sekadar begitu-begitu, tapi pada satu saat kita semakin merasai jalinan kemesraan.

Perancangan Tuhan itu indah dan bermakna. Ada sekuel dalam setiap episod perkenalan kita dengan insan yang bernama manusia.

Tapi ramai yang lupa, manusia itu bukan selamanya ada di sisi kita. Lambat-laun, mereka akan pergi, menjauh dari diri.
Segala janji yang dipateri, tidak semuanya bisa ditunaikan. 
Hanya sekadar di mulut, tapi tidak dalam hati.

Benarkah?

Kompleks sungguh hidup ini.
Dalam setiap syak wasangka yang menghambat diri, harus kita neutralkan dengan perasaan husnudzon dan kasih sayang.

Mungkin, manusia itu personalitinya cepat berubah.
Jika dulu, dia seorang yang periang, yang sentiasa membuatkan hati kita berasa lucu.
Kini, dia seorang yang kuat bekerja, sudah punya fokus cita-cita dan kehidupan.
Sehingga mungkin, kita antara sebahagian jiwa yang perlu disisihkan.

Yang namanya manusia itu memang tidak sempurna.
Bukanlah tugas kita untuk memaut hati kita dengan insan-insan kesayangan.

Tapi, doa itu indah sebenarnya.

Mendoakan, tanpa pengetahuannya.

Semoga Allah kirimkan doa kepada mereka.
Semoga Allah jentik jiwa-jiwa mereka untuk teringat kepada kita.

Biar tidak menerusi alami, tapi saya yakin.

Mereka sentiasa mendoakan kebaikan kita, meskipun mata menjauh di nun sana.