Tuesday, September 5, 2017

Kecanduan Media Sosial

'I fear the day that technology will suprass our human interaction. The world will have a generation of idiots.'


Petikan daripada filem Powder (1995)


[Sumber: link]
Sudah lama perkara ini terpendam dalam minda saya. Mengenai kecanduan kita sebagai pengguna media sosial yang seolah-olah tidak dapat membezakan yang mana realiti, yang mana fantasi.

Hari ini kita disuapkan dengan ketagihan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp dan seumpamanya.

Pada satu sisi, ia memang memberikan kebaikan dan manfaat. Media sosial membolehkan kita untuk menggelungsuri maklumat dan berita tanpa sempadan. Dengan membuka handphone sahaja, kita boleh melihat cerita terbaru yang berlaku di serata dunia. Mengenai dunia politik, ekonomi semasa, isu penindasan saudara-saudara Islam kita di Gaza, Myanmar dan negara-negara yang terlibat.

Saya kira itu bagus. Membuka minda kita untuk melihat dunia.

Namun, terlalu taksub dengan media sosial juga sebenarnya memberikan konsekuensi yang bukan sahaja menjejaskan produktiviti seseorang (jika tidak dapat digunakan secara berhemah), bahkan hanya membuatkan orang-orang di sekeliling seperti halimunan.

Pengalaman berkawan dengan rakan-rakan yang taksubkan media sosial adakalanya membuatkan saya rasa kasihan. 

Bayangkan, bangun pagi-pagi sahaja sudah sibuk membuka Whatsapp untuk menyemak mesej, Instagram untuk mengelike gambar-gambar terbaru, Facebook untuk membaca status terkini, dan Twitter untuk membaca kicauan sensasi.

Tidak lupa dengan keyboard warrior yang tidak habis-habis mahu mengomen dan menghentam. Hidupnya hanya untuk mengkritik, tapi tindakan susulan langsung tak dibuat. Cakapnya sahaja yang lebih.

Sedangkan setelah kita bangun, adalah lebih molek untuk melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Tuhan. Bersyukur kepada Pencipta kerana membangkitkan semula diri kita daripada lena yang bersifat 'mati sementara'.

Bukannya diteruskan dengan menatal telefon kesayangan sehingga mata tidak lekang-lekang pada skrin. 

Kadang-kadang, apabila keluar makan dengan rakan-rakan, walaupun duduk bersebelahan atau pun berhadapan, yang difokuskan adalah pada skrin telefon. Benar, memang ada sesi berbual-bual dengan rakan-rakan, tapi apalah maknanya berbual dengan tangan masih menyentuh telefon.

Pernah juga terdetik untuk saya meninggalkan sahaja meja kerana kalau saya ada di hadapan mata pun, saya hanyalah halimunan. Baik saya bercakap dengan kucing.

Boleh gunakan media sosial, tapi berpada-pada. 

Ada masanya kita menggunakan media sosial untuk tujuan kebaikan, ada masanya kita perlu luangkan masa untuk keluarga, untuk rakan-rakan dan masyarakat.

Saya kira jika ada keperluan yang mendesak boleh sahaja minta excuse untuk jawab segala mesej yang datang. Maksud saya, orang yang berada di hadapan kita itu yang lebih utama untuk kita prioritikan.

Benda yang saya cakapkan ini mungkin hanya akan dipandang enteng oleh sesetengah orang. Tapi percayalah, kalau dapat lakukan perubahan sedikit-sedikit, saya yakin akan ada sedikit perubahan yang berlaku dalam kehidupan.

Mengenai produktiviti, dan juga soal perhubungan kita dengan orang lain.

Mengenai sejauh manakah kita telah berjaya menyantuni masyarakat, juga misi untuk mendekatkan mereka yang semakin jauh daripada Tuhan.

Jangan hanya lancang berbicara di media sosial tetapi tangan langsung tidak digerakkan untuk menggugah jiwa insan lain.

Dunia ini, bukan hanya berputar-putar kepada media sosial sahaja.

Friday, August 18, 2017

Manusia Dingin: Petanda Kurang Kasih Sayang?

[Sumber: link]


Kita akan rasa selesa apabila orang yang sedang kita bawa berbual itu menunjukkan riak muka yang ceria, yang penuh dengan senyuman, dan memandang kita dengan sepenuh perhatian.

Bagaimana pula dengan orang yang apabila kita ingin berurusan dengan dia, dia seperti acuh tak acuh sahaja? Sibuk dengan halnya sendiri, seolah-olah tidak mahu dirinya diganggu.

Saya gelar manusia seperti ini sebagai manusia dingin. Mungkin juga boleh dipanggil manusia kurang mesra alam. Sebab layanan yang diberikan bukan hanya membuatkan diri rasa kurang selesa, bahkan kalau boleh, kita tak ingin pun nak bersemuka dengan manusia itu buat kali kedua.

Apa punca wujudnya manusia-manusia seperti ini? Ada banyak teori yang berlingkaran dalam minda saya.

Mungkin manusia itu sebenarnya sedang menghadapi tekanan. Tekanan dari segi kerja, nak kejar dateline. Itu yang dia rasa dirinya tidak mahu diganggu oleh sesiapapun. Kalau ada yang mahu berjumpa dengan dia pun hanyalah orang-orang yang berkepentingan sahaja. Orang lain yang tidak rapat memang tidak dilayan dengan sebaik mungkin.

Double standard. Dengan orang lain diberi layanan ok. Dengan kita diberi layanan dingin, siap ada taufan dan puting beliung. Kadang-kadang sampai saya sendiri pun takut mahu mesej untuk urusan tertentu kerana saya tahu apa yang saya dapat ialah mesej yang sama seperti sikap si penghantar mesej. Mesej berbau dingin dan tidak mesra alam. Apabila kita buat kesilapan yang tidak disengajakan, terus sahaja kita dipersalah dalam segenap inci.

Kurang kasih sayang. Ini juga mungkin faktor yang menyebabkan mengapa orang yang kita rasa berwajah dingin itu, berjiwa dingin. Boleh bezakan manusia berjiwa kasih sayang dan manusia tanpa jiwa kasih sayang. Manusia berjiwa kasih sayang, apabila kita berurusan, kita ada dapat rasakan ketenangan kerana setiap butir bicara yang dia ungkapkan  menyebabkan diri kita rasa dihargai.

Berbanding dengan manusia yang bukan berjiwa kasih sayang. Senyum tidak. Pandang pun tidak. Apabila disoal, sepatah dijawab. Apabila kita ingin meminta kepastian mengenai suatu permasalahan, kita pula yang dipersalahkan. Kemudian, mulalah mencari setiap inci kesalahan kita. Itu yang membuatkan kita terpaksa berhati-hati bercakap. Cakap salah, terus dikririk. Jadi tunggul kayu sajalah kalau macam tu?

Apa yang menyebabkan manusia dingin tidak dapat rasa kasih sayang dalam diri? Berbalik kepada diri sebenarnya. Kita hanya akan dapat memperoleh rasa kasih sayang, apabila kita sendiri yang memberikan kasih sayang kepada orang lain. Kasih sayang itu milik semua.

Tuhan cipta kita di atas muka bumi ini pun, untuk kita saling mengenali dan berkasih sayang. Berkasih sayang tidak mengenal rupa dan warna kulit. Berkasih sayang kerana kita semua merupakan saudara seIslam. Bukan disebabkan kau bukan keluarga dan darah daging aku atau kau hanya pekerja bawahan aku atau kau cuma student universiti jadi kau tak ada apa-apa kaitan dengan aku.

Yang cuba memberikan rasa kasih dan sayang,
Farid Majid.

(:

Monday, May 15, 2017

Pandang Manusia dengan Kasih Sayang

Kadang-kadang, apabila ada rakan-rakan saya sendiri, yang sedang mengutuk si fulan bin fulan, saya rasa tak sedap hati. Makin saya mendengar bual bicara mereka, makin saya rasa tenat.

Pernah juga ada rakan yang beritahu saya, bahawa si fulan bin fulan itu perangai entah apa-apa. Seolah-olah rakan itu mahu beritahu saya, "Awak kena jauhkan diri daripada dia."

Mendengar cakap-cakap daripada orang kemudian terus menilai orang yang dimaksudkan. 

Senangnya manusia menilai seseorang daripada luaran. Senangnya manusia menghukum seseorang tanpa dia sendiri selidiki dan kenali hati budi orang yang sedang dia kutukkan itu.

Orang yang berjiwa kasih sayang, dia tak akan mengambil kesempatan menceritakan segala kelemahan orang yang dia maksudkan itu, kemudian menyebarkannya kepada orang lain.

Orang yang berjiwa kasih sayang, akan memandang orang yang melakukan kesilapan itu dengan mata nurani. Tak sewenang-wenangnya dia menilai orang itu berdasarkan keaiban yang dilakukan. Kerana dia tahu, semua manusia melakukan kesilapan, dan tugas kita sebagai saudara semuslim, adalah menghulurkan tangan. 

Saling membantu. Saling melengkap.

Bukan saling menghukum dan membenci.

Jangan pernah berasa jijik dengan saudara semuslim kita. Jika ada sekelumit perasaan menyampah, ketahuilah bahawa hati itu sedang bermasalah.