Saturday, August 6, 2016

Pengalaman Belajar Bidang Kimia

Bismillah.

Larutan yang dipisahkan dari campuran pewarna menggunakan kaedah kromatografi kolum.


Kadang-kadang saya akan tersenyum sendiri setiap kali mengimbau gelagat rakan-rakan, sanak-saudara mahupun orang awam yang curious mengenai bidang kimia yang sedang saya pelajari ini.
Ada yang kata saya budak pandai sebab belajar kimia. Ada juga yang memperlekeh, kononnya orang yang belajar kimia tidak dapat pergi jauh. Ada juga yang risaukan saya, yalah, sebab saya sering terdedah dengan larutan-larutan berbahaya dalam makmal. Agak takut juga saya, tambah-tambah lagi apabila pensyarah saya pernah menceritakan risiko orang kimia yang agak tinggi. Sampai ada yang mendapat kemandulan, kanser dan paling tragis, meninggal dunia.
Semasa saya berada dalam tahun pertama pun, saya sering dimomokkan bahawa bidang kimia ini susah. Tarafnya sama seperti pelajar-pelajar perubatan. Jadual padat. Subjek sangat banyak. Setiap malam ada kuliah tambahan. Susah dapat keputusan 4.00 dan sebagainya.
Benarkah segala sangkaan dan khabar angin ini?
Mari saya kongsikan realiti yang telah saya hadapi. Mesti ada yang tertanya-tanya, apa yang saya belajar dalam bidang kimia ini?
Klik sini untuk bacaan lanjut: http://www.majalahsains.com/pengalaman-belajar-bidang-kimia/
:)

Saturday, July 2, 2016

Apa yang Anda Perlu Buat Jika Ditendang dari Kolej?

Bismillah.

Tajuk agak sensasi pula. Mungkin perkataan yang lebih sesuai ialah disingkirkan dari kolej, atau dibuang dari kolej, atau tidak-berjaya-mendapatkan-penginapan-di-kolej.

Ada beberapa faktor kenapa mahasiswa dan mahasiswi di universiti dibuang kolej. 

Antara faktor yang popular especially di UKM ialah:

1. Tidak mendapat merit yang mencukupi.
2. Terlibat dengan agenda politik kampus.
3. Menjadi penyokong politik kampus yang menjurus kepada pembangkang.
4. Kolej sedang dinaiktaraf, jadi terpaksa cari kolej lain.

Saya tak nak ulas mengenai faktor-faktor ini, nanti semakin dibincang, semakin dijadikan isu. Jadi untuk menghilangan resah dan beban dan jiwa, saya ingin memberikan sedikit tip yang boleh anda gunapakai setelah dapat tahu bahawa anda tidak layak duduk di kolej.

Okey, mari kita mulakan.

1. Mencetak borang permohonan ke kolej lain

Sudah tiba masanya untuk anda mendapatkan pengalaman baru menginap di kolej lain pula. Mungkin anda bakal merindui kemudahan dan fasiliti lengkap yang hanya dapat diperolehi dari bekas kolej anda, seperti wifi yang laju atau bilik air yang bersih dan wangi, tapi anda harus terima hakikat, Kita tak boleh nak hidup dalam ruang lingkup yang sama.

Cuba cetak borang permohonan untuk menginap di kolej lain. Boleh dapatkan di http://www/ukm.my/kdo dan klik pada borang permohonan penginapan di kolej. Cetak dan isi butiran yang diperlukan. Untuk lagi afdal, cetaklah sebanyak-banyak mungkin dan hantarkan ke semua kolej yang ada di UKM. Jika mahu lagi umpph, sertakan sekali surat rasmi permohonan anda, disertakan dengan salinan sijil-sijil. Ini mungkin agak leceh dan memakan tenaga dan masa, tapi jika itu semangat yang anda mahukan, kenapa tidak melakukan inisiatif yang lebih?

Selalunya keputusan penempatan di kolej akan dimaklumkan sama ada menerusi emel atau SMS. Jadi, dalam tempoh ini, banyakkanlah berdoa dan buatlah solat sunat hajat in sha Allah.

2. Jumpa dengan pengetua kolej

Sekiranya anda masih mahu tinggal di kolej anda itu, ini adalah antara alternatif yang boleh anda lakukan. Dapatkan nombor pengetua dan buatlah temu janji untuk berjumpa. Jangan panik dan takut. Pengetua kolej juga manusia seperti kita, cuma mungkin pangkatnya yang agak tinggi membuatkan kita rasa terlalu merendah diri.

Saya sendiri mempunyai pengalaman berjumpa dengan pengetua berikutan kegagalan saya untuk menginap di kolej. Cuma kena tahan sikitlah kalau dia tegur-tegur kita contoh fasal isu politik ke apa ke. Kadang-kadang benda yang kita tak buat pun kita dianggap bersekongkol sekali. Kemudian mulalah kita dibrainwash itu dan ini.

Nasihat saya, jangan terus melenting dan melatah. Bersikap sabarlah dan tenang. Jaga akhlak dan imej kita sebagai seorang mahasiswa yang sentiasa positif. Saya yakin dalam pertemuan kita dengan pengetua itu, kita akan dapat mencari jalan solusi, sama ada dibenarkan untuk duduk di kolej, atau tidak. 

3. Dapatkan sokongan dari pensyarah atau organisasi yang melambangkan keaktifan anda

Ini juga boleh dibuat untuk menguatkan lagi kredibiliti anda untuk menginap di kolej. Saya tak pernah lagi buat tip yang ini, tapi cubalah untuk kemaslahatan anda sendiri.

Jumpa dengan pensyarah yang anda rapat. Mungkin pensyarah anda itu tahu mengenai status kecemerlangan anda dalam akademik. Siapa tahu beliau akan buatkan anda surat sokongan untuk membantu anda mendapatkan kolej. 

Jika anda terlibat secara aktif dalam organisasi seperti kebudayaan universiti atau sukan misalannya, why not cuba tonjolkan diri anda apabila akan bersemuka dengan pengetua anda mengenai keaktifan anda. Rakan saya yang aktif dalam nasyid dan muzik senang-senang je dapat kolej, bahkan dapat pilih lagi kolej mana yang nak dia duduk.

4. Berdikari, cari rumah sewa

Rumah sewa adalan jalan terakhir. Dah tiba masanya kita keluar dari kepompong kesenangan. Mana yang tak tahu tunggang motor atau pandu kereta mungkin perlu dapatkan lesen supaya mudah untuk berulang-alik dari rumah ke kampus.

Dan of course, kos tinggal di rumah sewa mungkin lebih tinggi, jadi pengurusan kewangan yang efektif juga adalah perlu supaya tidak keputusan wang.

Kalau boleh dapatkan housemate yang terdiri dari rakan-rakan rapat kita sendiri. Tak salah untuk duduk dengan orang luar, tapi risiko dia mungkin lebih sedikit. Kita tak tahu sangat budi dia macamana kan. 

Tapi kalau rakan-rakan rapat kita semua memang dapat kolej, nampaknya kita sendiri yang perlu belajar mengadaptasikan diri untuk hidup dengan orang luar. Orang luar tu mungkin tak semestinya orang yang berada luar dari kampus, mungkin juga kenalan kita yang hanyalah berbeza fakulti. Mungkin ada perbezaan dari segi pemikiran kita. Contohnya, saya dari Fakulti Sains dan Teknologi, housemate saya pula dari Fakulti Pengajian Islam. Perbezaan pemikiran inilah yang akan melahirkan kesefahaman sekiranya kita bijak dan celik dalam mencari titik pertemuan.

 Yang berbaju hijau, adalah bekas housemate saya. Ahmad Hanzalah namanya, manis orangnya.

Masih ingat lagi program yang kumpulan saya anjurkan di surau rumah sewa saya. Program gotong-royong. Terima kasih sahabat-sahabat yang membantu.

Jangan bersikap rasis.

Cukuplah tip-tip yang saya kongsikan ini. Jika ada soalan, silalah komen di bawah. 

:)

Tuesday, June 28, 2016

Apa Pula Komen Saya Mengenai Subjek-subjek Semester 4?

Bismillah.

Alhamdulillah, peperiksaan final semester baru sahaja berakhir. Bagi yang belum menamatkan lagi sesi peperiksaan, good luck and all the best.

Baik, saya akan ulas secara ringkas mengenai subjek-subjek semester 4 saya sepanjang bergelar mahasiswa dalam bidang Sains Kimia. But first, saya nak beritahu semester 4 ini saya sangat sibuk dengan aktiviti persatuan sehingga adakalanya saya hampir rasa nak putus asa untuk menyeimbangkan dengan akademik. Tapi alhamdulillah, I managed to arrange them based on my priority. 

1. Kimia Polimer II

Ini ialah sambungan dari Kimia Polimer I. Kebanyakan topik adalah mengenai sifat-sifat polimer seperti sifat mekanikal, kekenyalan polimer, dan juga beberapa jenis polimer seperti polimer termoset, polimer hablur, polimer amorfos, polimer koloid dan ada juga disentuh mengenai polimer terbiodegradasi (boleh terurai secara alami). Subjek ini boleh saya katakan agak senang, cuma nota-nota dalam lectures perlu dibaca semula agar dapat faham secara jelas konsep polimer yang diterangkan.

2. Kimia Koordinatan

Mulanya saya fikir subjek inilah yang paling senang. Dimulakan dengan definisi sebatian kompleks, iaitu sebatian yang ada pusat ion logam yang mana mendapat pendermaan elektron secara datif oleh molekul yang dinamakan sebagai ligan. Kami turut diperkenalkan dengan teori medan hablur. Sangat seronok sebenarnya teori ini kerana kita bermain-main dengan geometri sesuatu kompleks, sama ada berbentuk oktahedron, tetrahedron mahupun segi empat sesatah. Tetapi, bila dah masuk teori orbital molekul, saya jadi kaku sikit.  Kemudian bila masuk bahagian kesan herotan Jahn-Teller saya masih boleh faham kerana konsep cukup mudah. Mungkin yang membuatkan saya rasa stress seperti pengisian elektron yang mana kita sebut sebagai simbol sebutan. 



3. Spektroskopi Asas

Ilmu asas ini sepatutnya dipelajari oleh semua pelajar di bawah Pusat Pengajian Kimia dan Sains Makanan, saya rasa. Teori-teori sifat-sifat gelombang dibincangkan dengan begitu menarik sekali oleh pensyarah saya, Dr Siti Fairus. Kemudian kajian mengenai kelakuan molekul apabila dikenakan gelombang seperti mikrogelombang, inframerah, Raman, frekuensi radio dan ultra-lembayung turut diperhalusi. Pengiraannya agak mudah dalam silibus subjek ini. Cuma bila dah masuk bahagian peralihan elektronik, saya agak kaku di situ. Ia sebenarnya sama seperti simbol sebutan dalam subjek Kimia Koordinatan, tetapi untuk yang ini, ada banyak peraturan yang perlu difahami. Kadang-kadang pening juga mana satucara yang betul untuk assign elektron ke dalam orbital. Bahagian LASER saya sangat suka sebab hanya perlu tahu teori, ciri-ciri dan aplikasi.

4. Penentuan Struktur Organik

Saya tak tahu kenapa. Saya ingat saya boleh target yang baik untuk subjek ini. Dimulakan dengan kaedah pemisahan untuk sebatian organik. Kemudian diperkenalkan dengan spektroskopi inframerah untuk pencirian kumpulan-kumpulan berfungsi dalam sesuatu molekul. Ini bagi saya agak mudah. Apabila dah masuk spektroskopi ultra-lembayung pula, tidak banyak informasi yang dapat dicerap. Kebanyakannya hanyalah pengiraan nombor gelombang sesuatu molekul yang mempunyai sistem konjugasi. Tapi Ya Allah, bila dah masuk resonans magnet nuklear, mula-mula saya masih yakin bahawa saya dapat catch-up dengan begitu baik sekali. Sekali dah masuk gandingan spin dan pembelahan spin, saya rasa berada di dunia yang lagi satu. Sampai sekarang saya tak tahu kenapa dan bagaimana untuk mengintepretasi double of doublet, triple of doublet dan sebagainya. Sistem spin seperti ABX, AMX, AA'BB' pun saya agak ketidaktahuan di situ. Spektrometer jisim pula saya main hentam saja dan mengikut logik. Penyusunan semula Mc-Lafferty pun saya seperti biasa, main hentam apabila jawab soalan. Saya harap saya mampu dapat ok untuk subjek ini, kalau tidak mungkin saya kena teruskan projek akhir tahun dengan bidang kimia yang lain selain kimia organik.

5. Kaedah Pemisahan

Subjek ini kadang-kadang membosankan. Saya berkali-kali hampir tersengguk-sengguk dalam kuliah. Sebelum masuk kuliah ini, saya akan pastikan saya beli makanan untuk mengelakkan ngantuk. Mungkin sebab dewan kuliah yang agak besar sehingga menyebabkan saya lebih selesa untuk tidur. Konsep kromatografi lebih banyak fokus kepada jenis-jenis kromatografi. Baca saja nota kuliah confirm dapat skor. Untuk bahagian penyulingan dan penurasan juga agak mudah. Pengiraan pula lebih kepada hukum Raoult, hukum Dalton dan persamaan Clausius-Clapeyron. Untuk bahagian pengekstrakan juga mudah. Cuma mungkin soalan peperiksaan dia agak tricky.

6. Amali Kimia IV

Ini ialah subjek amali terakhir kami. Dimulakan dengan bahagian Kimia Fizik. Sesi makmal agak cepat kerana ia bermain dengan masa. Cuma untuk lab report, kami perlu menulis tangan. Bayangkan graf-graf yang begitu banyak. Kadang-kadang tangan saya melecet sebab terlalu penat menulis lab report. Untuk bahagian Kimia Organik, saya telah buat permintaan kepada pensyarah untuk menulis lab report menggunakan komputer. Jujurnya saya lebih suka amali organik kerana selain dibuat dalam skala yang mikro, saya dapat memahami beberapa konsep yang pernah diajar dalam kuliah seperti kromatografi, penghabluransemula dan lain-lain.



7. Pengurusan Industri Kimia

Subjek ini langsung tidak menyentuh mengenai persamaan Kimia, atau menjangka pelarut dan reagen untuk tindak balas organik. Ia adalah apresiasi mengenai kepentingan pengurusan yang mapan dalam sesuatu industri kimia. Industri kimia sering dikaitkan dengan industri yang membawa malapetaka kepada manusia dan alam sekitar, seperti pengeluaran sisa toksik ke sungai, pelepasan gas berbahaya dan sebagainya. Sedangkan industri inilah yang menjana sumber kepada industri-industri lain bagi memenuhi kelangsungan hidup manusia. Konsep Green Chemistry adalah prinsip yang sedang diusahakan dalam industri kimia agar dapat mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar. Carbon footprint juga adalah topik yang menarik untuk dibincangkan kerana ia dapat memberi kesedaran terhadap globalisasi yang dialami oleh bumi. Life Cycle Analysis pula membawa kita menelusuri bagaimana sesuatu produk direka bentuk dan bagaimana perjalanan akhir hayatnya. ISO 9000 dan ISO 14000 juga adalah topik yang menjadi kegemaran kerana dengan adanya ISO inilah kualiti sesuatu industri dapat dijamin. 

8. Hubungan Etnik

Subjek wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar. Konsep hubungan etnik dibincangkan dengan menarik sekali oleh pensyarah saya, Professor Khairul Anwar. Beliau begitu passion mengenai hubungan etnik dan beliau sendiri meraikan pandangan dari setiap pelajar yang berbilang etnik. Buku modul hubungan etnik pula pada pendapat saya lebih kepada sastera. Ayat-ayatnya perlu dibaca berkali-kali supaya dapat faham konteks sesuatu topik. Penggunaan Open Learning juga sebenarnya memudahkan lagi kefahaman saya mengenai hubungan etnik, sebab saya sukakan grafik dan bahan berbentuk multimedia untuk memahami sesuatu topik.


9. Workplace Communication II

Kursus ini melengkapkan pelajar dengan kemahiran di tempat kerja, seperti penulisan resume, surat cover letter dan amalan di tempat kerja. Oleh sebab ia adalah dalam bahasa Inggeris, maka saya perlu berbicara dalam bahasa Inggeris setiap kali berada dalam kelas ini. Hanya ada 13 orang pelajar, saya seorang sahaja dari bidang sains kimia, selebihnya adalah dari geologi, perakaunan, matematik, sains aktuari dan sains bahan. Mockup interview untuk mencari kerja turut dilakukan dan diberikan markah. Selain itu, kami perlu menemubual majikan sesuatu syarikat untuk melengkapkan tugasan kajian kami. 

Itu sahaja.

Pelbagai cabaran dan rintangan yang dilalui tapi atas rahmat Allah, saya berjaya mengharungi kesemuanya dengan tenang.

In sha Allah, semoga untuk semester hadapan, saya dapat lalui subjek-subjek Kimia dengan azam yang lebih padu dan bersemangat.

Buat para pensyarah, selamat menanda jawapan peperiksaan saya dengan tenang.

Salam sayang dari Farid Majid.